"Dan Kami turunkan dari Al-Qur'an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Qs:Al-Isra:82)
Ilmu Saka Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri
Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.
Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.
Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional. Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.
Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.
Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia. Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.
Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.
Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.
Penting
Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera. Objek tersebut hakikatnya adalah merupakan lambang, dimana disebalik lembing atau batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris meninggal dunia dimana barang-barang tadi menjadi barang peninggalannya si mati (pewaris).
Objek-objek ini terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan air limau nipis pada malam-malam tertentu seperti malam Jumaat, sebulan sekali atau di malam Jumaat awal Muharram setiap tahun ketika bulan penuh dan dipersapkan dengan kemenyan.
Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan melayu tradisional untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan sebagainya. Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi.
Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.
Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.
Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.
Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis
Jenis Pertama
Adalah seperti yang dijelaskan diatas yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Selain mencari barang hilang saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w.
Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur,sakit atau ketika tua.
Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhl;uk ini.
Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk keneraka bersamanya.
Jenis Kedua
Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh wrisnya.
Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Senagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya.
Itulah proses permulaan bagi mendapatkan saka dan rentetan daripada perjanjian itu, syaitan akan sentiasa mendampingi tuannya sehingga manusia terbabit boleh menggunakan kebolehan makhluk halus itu untuk kepentingan dirinya. Pengamal Perubatan Islam Darussyifa’ di Bangi, Selangor, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata saka adalah antara perbuatan ‘ilmu hitam’ yang sudah lama wujud dan diamalkan individu tertentu di dunia ini termasuk di Malaysia. Beliau berkata, kebiasaannya manusia terbabit menggunakan bantuan jin untuk pelbagai kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan harta; menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau lautan..
“Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia. “Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, antara kesan buruk memelihara saka adalah pemiliknya akan menghadapi seksaan yang amat perit ketika hendak mati kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa sehingga menemui ajal. Katanya, situasi lebih dahsyat berlaku apabila ada kes di mana pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya. Keadaan itu menyebabkan saka berkenaan ‘menumpang’ pada jasad tuannya sehingga pemilik saka itu kelihatan seolah-olah masih hidup dan bergerak walaupun dia sebenarnya sudah meninggal dunia. Lebih membimbangkan adalah jin yang menjadi saka juga boleh mencemari maruah keluarga pemiliknya dengan mengadakan hubungan kelamin bersama isteri atau anak perempuan tuannya. Gangguan saka juga menyebabkan seseorang mengalami penyakit misteri yang amat menyeksakan. |
Mohd Fauzi berkata, syaitan sememangnya gembira apabila ada manusia yang menyeru untuk berdamping dengan mereka kerana mereka mahu menyesatkan manusia seperti firman Allah menerusi surah al-Hijr, ayat ke-39: “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (manusia) memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi pemilik saka adalah jin berkenaan perlu diwariskan kepada individu lain apabila pemiliknya hampir menemui ajal selain pemilik perlu menjamu saka peliharaannya dengan darah, kemenyan atau sebagainya. |
Katanya, saka adalah masalah gangguan makhluk halus yang kerap ditemui pengamal perubatan Islam, selain sihir dan santau malah berbanding sihir dan santau, saka paling sukar dan memakan masa untuk diubati; lebih lama seseorang itu berdampingan dengan saka, lebih sukar untuk membuangnya. |
Masalah gangguan saka semakin menjadi-jadi apabila pemilik berkenaan meninggal dunia tanpa sempat mewariskan saka berkenaan menyebabkan jin berkenaan akan merewang serta mengganggu dan menyakiti ahli keluarga dan orang lain. “Sesetengah anak yang mewarisi saka pula tidak mengetahui apakah syarat dan pantang larang ketika perjanjian dimeterai menyebabkan mereka tidak menunaikan perjanjian itu seperti tidak menyediakan makanan kepada jin terbabit menyebabkan makhluk itu akan mengganggu dan menyakiti mereka kerana marah,” katanya. Mohd Fauzi berkata, hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam Islam seperti firman-Nya: “Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan)’.
“Allah berfirman: ‘Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui,” (surah al-An’aam: 128).
Sehubungan itu, ahli keluarga lain atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal dan bagi mereka yang sudah menerima, perlu diusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit. “Untuk merawat atau membuang saka pula, pesakit perlu dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah serta mengelak daripada berjumpa bomoh atau pengamal perubatan yang berasaskan jin,” katanya. Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid Sidek, berkata bagi mengubati manusia yang diganggu saka, rawatan perlu dilakukan daripada ‘atas ke bawah’ iaitu menyembuhkan datuk atau bapa terlebih dulu kerana tanpa berbuat demikian, gangguan itu berterusan kerana puncanya berada ‘di atas’. “Contohnya seorang pesakit saya iaitu kanak-kanak mengalami sakit pelik dan gatal seluruh badan; apabila berjumpa dengan doktor dan diberi ubat, gatal itu semakin merebak. Apabila dibawa berjumpa saya, saya dapati jin yang menyebabkan sakit kepada si anak berada di tubuh bapanya. “Walaupun yang sakit adalah anak dan bapa pula sihat seperti biasa, rawatan perlu dilakukan terhadap bapa dan selepas dirawat, alhamdulillah si anak turut sembuh,” katanya yang menjalankan rawatan di pusat perubatannya di Batu 7, Kuang, Selangor. Beliau yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, berkata selain memberi kelebihan kepada tuannya, saka juga menjaga harta dan barang pemiliknya menyebabkan gangguan boleh berlaku jika barang pemilik saka dimiliki orang lain. “Itulah sebabnya jika ingin mengubati kes gangguan saka, barang pemilik saka perlu dibuang terlebih dulu; kadang-kadang timbul masalah apabila barang itu dijual kepada orang lain yang tidak mengetahui menyebabkan orang itu diganggu saka berkenaan,” katanya.
Fakta SAKA:
- Syaitan adalah jin yang kafir dan ketua syaitan adalah Iblis.
- Kaedah mengubati gangguan atau membuang saka harus dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Mengubati sihir dengan menggunakan sihir (nushrah) seperti mengunjungi pengamal perubatan yang menggunakan jin untuk mengubati gangguan makhluk halus adalah haram.
- Saka yang dipelihara wanita digelar ‘pelesit’ dalam budaya Melayu manakala yang dipelihara lelaki digelar ‘hantu raya’. Hantu raya terdiri daripada jin berjenis Ifrit (golongan jahat).
- Antara kaedah memperkuatkan pertahanan diri bagi menghadapi gangguan saka dan makhluk halus adalah mengamalkan bacaan ayat kursi, membaca doa menghalau syaitan (al-Mukminum: ayat 97 dan 98), sentiasa membaca al-Quran dan ta’awwuz selain kuat beribadat kerana syaitan akan berasa panas apabila berhadapan dengan mereka yang mengamalkan kaedah berkenaan.
- Jin yang tidak begitu kuat boleh ditangani dengan garam dan cuka.
- Dalam kebanyakan kes, antara barang tuannya yang dijaga saka tetapi dijual kepada orang lain termasuklah barang antik dan bersejarah malah ada juga hiasan berupa tulisan ayat al-Quran.
INFO: Saka | ||
o Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi. o Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam. o Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam. o Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran. | ||
KAEDAH RAWATAN: | ||
Ada 2 kaedah rawatan yang dialankan: | ||
o Rawatan seluruh ahli keluarga yang ada saka o Terapi secara individu yang diganggu saka | ||
| ||
o Ini adalah kaedah terbaik untuk menghapuskan saka keluarga terbabit. o Rawatan ini membabitkan semua ahli keluarga samada yang telah diganggu saka dan ahli keluarga yang belum diganggu saka terbabit. o Ini memerlukan komitmen (kerjasama) dari seluruh ahli keluarga bermula dari datuk, nenek, anak-anak dan cucu-cicitnya o InsyaAllah rawatan ini dapat menghapuskan saka secara keseluruhannya o Bagi anda yang ingin medapatkan rawatan, sila hubungi 019-5513304 (Ustaz Hafiz Halim) untuk penjelasan lanjut. | ||
2. Terapi Secara Individu Yang Diganggu Saka: | ||
o Rawatan ini khusus untuk individu yang diganggu saka. o Proses ini sebenarnya lebih sukar kerana saka biasanya bukan hanya ada pada seorang individu dalam keluarga tersebut. o Kaedah ini adalah bagi mereka yang sukar untuk mengumpulkan ahli keluarga untuk buang saka - ini adalah masalah biasa (ada kalangan keluarga yang enggan atau tidak percaya disebabkan tidak ada mengalami sebarang sakit). o Untuk rawatan individu, saka yang menggangu individu terbabit dihapuskan. o Amalan khusus berserta CD Ruqyah dibekalkan untuk mengekalkan dan mengelak dari gangguan (saka yang berada di samping ahli keluarga yang lain masih ada, ianya berpotensi untuk datang mengganggu). Wa Allahu a'lam bissoab |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan